KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONAFIKASI
(MAKNA LUARAN) BERDASARKAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN.
Dalam
Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk
memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat
mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Sulalatus
Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat
yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Selain
itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam
penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna
tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk
dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis
dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala, Makna luaran merupakan
makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih
menari untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. Kita dapat
melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif,
bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri. Mereka mampu berfikir melalui
bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui
fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif.
Terdapat
pelbagai aspek sastera yang menarik dapat dilihat menerusi karya Sulalatus
Salatin. Misalnya dalam aspek gaya bahasa. Penelitian karya sastera pada waktu
sekarang banyak ditujukan pada penerangan struktur ceritanya seperti tema, watak,
latar dan persoalan. Akan tetapi, penelitian terhadap gaya bahasa merupakan
salah satu aspek penting terhadap kesusasteraan Melayu klasik ini. Pada
umumnya, gaya bahasa yang sering digunakan dalam karya sastera adalah
personifikasi. Hal ini demikian kerana, penggunaan gaya bahasa yang berkesan
mampu menghasilkan sebuah karya sastera bukan sahaja lebih nyata, tetapi juga
menjadikan sebuah karya sastera tersebut lebih menarik dan untuk dibaca.
Sehubungan dengan itu, aspek gaya bahasa personifikasi tergolong dalam komponen
makna luaran sesuatu karya terutamanya karya Melayu klasik. Aspek ini membawa
kepada keindahan yang berbeza terhadap karya Melayu klasik yang sukar diperoleh
dalam karya-karya moden yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda pada hari
ini.
KONSEP KEINDAHAN, GAYA BAHASA DAN
PERSONIFIKASI DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.
Sulalatus
Salatin mempunyai pelbagai gaya bahasa yang seiring dengan tarafnya sebagai
sebuah karya agung Melayu klasik. Karya agung ini merangkumi dua aspek makna,
iaitu makna dalaman dan makna luaran. Makna yang menjadi fokus utama dalam
perbincangan ini ialah makna luaran. Makna luaran merupakan makna yang
disepakati oleh pembaca termasuk gaya bahasa. Gaya bahasa yang ingin
diketengahkan ialah gaya bahasa personifikasi. Oleh itu, penting untuk
mengetahui konsep keindahan, gaya bahasa dan personifikasi sebelum dikaitkan
dengan penggunaannya di dalam karya Sulalatus Salatin tersebut agar dapat
diketahui makna luarannya.
1.1 Keindahan Melayu klasik
Istilah
keindahan merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika
kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut
V.I. Braginsky (1994:16), beliau merumuskan bahawa terdapat tiga aspek yang
dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan ‘indah’
dengan kata-kata yang seerti. Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera
dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh dan manfaat
yang terkandung di dalamnya. Keindahannya karya Melayu klasik ini terletak pada
tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar masyarakat
serta nilai dan pengajaran .
2.2 Gaya bahasa.
Maksud
gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah corak, bentuk, rupa atau
pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. Gaya juga
merupakan satu cara menulis atau bercakap. Menurut Nik Safiah Karim (1981),
bahasa dapat didefinisikan sebagai lambang-lambang pertuturan yang arbitrari,
bersistem dan digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi
Keempat (2005), bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai
alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu
dengan individu yang lain).
Gaya bahasa merupakan cara
penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan
penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat
untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung akan dapat memikat dan
seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga
adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk
mengindahkan lagi bahasa itu. Menurut
Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui
bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai
bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting
seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Gaya bahasa adalah pemakaian
kata-kata kiasan dan perbandingan bagi menggambarkan sesuatu maksud. Pelbagai
gaya bahasa dapat dilihat melalui sesuatu bahasa.
Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak,
bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di
antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Pada umumnya,
terdapat empat jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa
sindiran, gaya bahasa penegasan dan gaya bahasa pertentangan. Namun begitu,
dalam penulisan ini, kajian memfokuskan hanya kepada gaya bahasa perbandingan
dan melihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu personifikasi yang terdapat
dalam karya Sulalatus Salatin.
1.2 Personifikasi.
Personifikasi
dikenal juga sebagai pengorangan atau penginsanan. Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang
memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau
tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih
abstrak. Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia.
Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai,
menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur
melambai-lambai”, “ daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya.
Oleh itu, terdapat banyak gaya
bahasa yang ada dalam karya Sulalatus Salatin yang dikarang semula dalam versi
yang lain oleh beberapa orang tokoh seperti A. Samad Ahmad dan Muhammad Haji
Salleh. Antaranya ialah gaya bahasa personifikasi dalam karya Sulalatus
Salatin.
KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONIFIKASI
DALAM SULALATUS SALATIN.
Tun
Seri Lanang menganugerahkan generasi moden kini dengan sejumlah kata, baris dan citra, yang kekal dalam bahasa
Melayu yang diwarisi dari Sulalatus Salatin. Kata dan frasa yang tepat serta
dapat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat daripada bakatnya dan dijelmakan
dalam adunan situasi yang memerlukan pemikiran yang tinggi bagi memahami makna
yang ingin disampaikan termasuk makna luaran. Oleh itu, keindahan gaya bahasa
personifikasi telah menyerlahkan identiti Sulalatus Salatin sebagai sebuah
karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Dalam karya Sulalatus Salatin,
terdapat banyak penggunaan gaya bahasa personifikasi bagi menggambarkan sesuatu
perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu,
pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain
dan sebagainya lagi. Perkara-perkara ini telah menggunakan sifat yang ada pada manusia
dan dikaitkan pada unsur-unsur alam seperti haiwan, pasir, angin, pokok dan
lain-lain. Penggunaan unsur-unsur ini bagi menggambarkan keindahan makna
sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh pembaca. Antara contoh-contoh
penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya ini adalah seperti berikut.
Sekira-kira
empat keruh bumi jauhnya berjalan maka bertemulah dengan ra’yat Raja Syulan
lalu berparang, tiada sangka bunyinya lagi, bunyi segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan
segala yang berkuda bergigitkan kudanya
dan segala yang memegang panah
berpetikkan pana(h)nya dan segala (yang) memegang lembing bertikamkan lembingnya dan segala yang (memegang) tombak bertikamkan tombaknya, dan
segala yang memegang pedang bertetakan
pedangnya.
(Muhammad
Haji Salleh, 1997: 13)
BIBLIOGRAFI.
A.
Samad Ahmad (1986). Sulalatus Salatin
(Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul
Wahab Ali (2002). Kritikan Estetik
Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
D.
Kathiresan (1998). Kajian Teks Sastera:
Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Longman.
Kamus
Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris
Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa
sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana
Sikana (2004). Sastera Melayu Klasik:
Warisan Keemasan. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Rahman
Shaari (1993). Memahami gaya bahasa.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
bagus....
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen yang membina kepada kami. Harap maklumat tersebut memberi manfaat kepada anda.
ReplyDelete