Tuesday 14 May 2013

ADAT ISTIADAT DAN STARATA MASYARAKAT MELAYU DALAM SULALATUS SALATIN

1.0       Pengenalan

Sulalatus Salatin merupakan judul asal Sejarah Melayu. Karya ini ditulis oleh Tun Seri Lanang pada tahun (1612). Sewaktu karya ini ditulis terdapat pelbagai cerita lisan dan salasilah yang tesebar luas. Karya ini berkemungkinan besar ditulis di Johor setelah Kesultanan Melayu Melaka berpindah dari Bentan setelah diserang Portugis yakni setelah kejatuhan Melaka. Seterusnya, perpecahan politik Melayu telah berlaku sehingga terdapat orang yang menyebelahi Portugis. Bentan beberapa kali menyerang Melaka tetapi gagal. Walau bagaimanapun, kemenangan Belanda di Melaka pada tahun (1641) menjadikan kesultanan Melayu kembali kuat. Berdasarkan situasi inilah, Sulalatus Salatin dari Gowa diperbaiki oleh penyalin-penyalin barunya.
            Karya ini merupakan karya yang sangat istimewa dari segi usia, budaya, bahasa, gaya naratif, ketatanegaraan, pakaian, dan banyak lagi. Oleh itu, Sulalatus Salatin menjadi bahan suntingan, alih aksara, dan terjemahan oleh sarjana Eropah dan pengkaji tempatan. Salah satu judul terbitan berhubung teks dan kajian Sulaltus Salatin ialah Sulalatus Salatin yang disunting oleh A. Samad Ahmad. Adat istiadat dan strata masyarakat pada zaman itu merupakan keistimewaan yang sangat unik untuk ditelusuri bagi menerjah kehidupan dan keagungan kerajaan Melayu pada zaman itu.
            Konsep adat istiadat terbahagi kepada dua iaitu, adat dan istiadat. Adat mewakili undang-undang dan larangan Diraja. Larangan Diraja merupakan pelaksanaan undang-undang berdasarkan hukuman melanggar undang-undang atau melakukan sebarang kesalahan.  Undang–undang pula melibatkan larangan mengenai perhiasan pakaian peralatan raja. Istiadat pula mewakili aturan dalam negeri dan pelaksanaan upacara atau istiadat. Istiadat kebiasaannya dijalankan di istana raja dan mengutamakan kelengkapan dan perjalanan upacara. Seterusnya, aturan dalam negeri ialah istiadat aturan dalam negeri tidak melibatkan denda dan mementingkan protokal.
            Starata atau tingkat kedudukan masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Starata masyarakat Melayu pada zaman kesultanan Melayu terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja dan pembesar. Golongan diperintah pula terdiri daripada rakyat dan hamba. Masyarakat Melayu traditional sememangnya mengamalkan sistem pemerintahan secara mutlak.

 2.0       Maksud Adat Istiadat dan Strata Masyarakat

Adat istiadat sebahagian adat yang mengatur segala upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana masyarakat mengamal dan menjaganya dengan baik (Abdullah Siddik, 1975). Walau bagaimanapun, adat istiadat bergantung pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan serta pengaruh luar. Etimologi perkataan adat berasal daripada bahasa Arab iaitu, ‘Adah’ yang bermaksud kebiasaan atau perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi kebiasaan yang tetap dan dihormati. Seterusnya, perbuatan kebiasaan ini akan menjadi adat. Kata majmuk adat merupakan adat istiadat. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu traditional merupakan segala proses kehidupan manusia bermula daripada kelahiran hingga kematian (Abdul Latif, 2001). Gambaran adat istiadat dan larangan - larangan yang mementingkan protokol dan adat istiadat bertujuan untuk menonjolkan kebesaran raja Melaka.
            Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri Melaka telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Melayu tradisional Melaka dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja dan pembesar. Golongan yang diperintah terdiri daripada rakyat dan hamba (Akashah Ismail, 2010). Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah.

3.0       Adat Istiadat Dalam Sulalatus Salatin

 3.1       Aturan dalam Negeri

Aturan dalam negeri ialah istiadat aturan dalam negeri tidak melibatkan denda dan mementingkan protokal.

3.1.1    Adat Penganugerahan Gelaran

Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang se­runai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah bendahara akan diberi lima ceper persalinan. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Per­sangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
                                                                                                  (A. Samad Ahmad,1979: 76)

3.1.2    Adat Mengadap Raja di Balairung

Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
                                                                                                      (A. Samad Ahmad, 1979:5)

Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka Benda­hara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung, dan segala menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai; maka segala anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara Bentara, dan hulubalang muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang, dan kapala ben­tara yang di kiri itu, daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temeng­gung; dan kepala bentara yang di kanan itu, daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barang siapa bergelar Sang Guna bakal Lak­samana, dan barang siapa bergelar Tun Pikrama bakal Benda­hara.
                                                                                                   (A.Samad Ahmad, 1979: 75)

3.1.3    Istiadat Raja ke Istana

Institusi beraja dalam Sulalatus Sulatin mempunyai kepelbagaian adat istiadat yang mengikut aturan termasuklah adat istiadat raja masuk ke istana. Ketika raja akan ke istana gendang akan dipalu sebanyak tujuh ragam dan nafiri akan dibunyikan. Setelah selesai palukan gendang kali ketujuh, raja keluar bergajah diarak ke istana. Rakyat yang hadir akan duduk bersila di tanah. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Syahadan di Bintan gajah memangku puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang Lebar Daun, menyan­dang pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda berjalan di hadapan gajah baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria Bupala memegang gading kiri. Maka pa­yung iram-iram kerajaan putih pun terkembanglah empat, serta cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah. Maka diarak oranglah baginda masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala menteri hulu­balang kedua buah negeri itu, terlalu sabur rupanya. Mereka yang melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu. Maka disuruh arak oleh Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak oranglah masuk ke dalam rong sekali, terkepil di atas rong dalam.
                                                                                                   (A. Samad Ahmad, 1979:25)

            Berdasarkan sulalatus sulatin ini, Raja Iskandar berjalan dihadapan gajah baginda berserta dengan menteri baginda iaitu, Menteri Bupala memegang gading kanan manakala Aria Bupala memegang gading kiri. Orang suruhan baginda akan berjalan dihadapan gajah baginda. Payung iram-iram putih kerajaan juga turut digunakan semasa perarakan tersebut. Segala bunyi-bunyian dimainkan dan diiringi menteri kedua-dua buah negeri melalui pasar sebelum masuk ke balai rong.

3.1.4        Adat Menjunjung Duli

Adat menjunjung duli juga terdapat dalam Sulalatus Sulatin. Adat istiadat ini diadakan apabila empat atan lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri Balai. Segala perkakas seperti ketur, kendi, kipas, dan barang yang diselang kedudukannya. Pedang pula berada di sebelah kiri dan kanan. Pedang kerajaan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Syahadan jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk di Seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-besar. Ada­pun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya; me­lainkan puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan kanan; pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memi­kul pedang itu.
                                                                                               (A.Samad Ahmad, 1979:75)

4.0  Starata Masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin

Raja merupakan golongan yang merintah dan rakyat merupakan golongan yang diperintah. Persetujuan ini hasil dari waadat antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. Sehubungan itu, strata masyarakat dibahagikan kepada dua iaitu, golongan pemerintah dan golongan yang diperintah.

4.1 Golongan pemerintah

4.1.1    Raja Atau Sultan

Golongan pemerintah yang paling tinggi dalam susun lapis masyarakat dikenali sebagai ‘raja’. Walau bagaimanapun, setelah kedatangan Islam maka gelaran tersebut telah bertukar kepada gelaran ‘sultan’. Sulalatus Salatin memaparkan golongan pemerintah sebelum dan ketika kewujudan Kesultanan Melayu Melaka. Nama pemerintah tertinggi atau raja sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Melaka ialah Raja Iskandar, Raja Suran, dan Demang Lebar Daun. Selain itu, nama-nama sultan yang memegang taktha kerajaan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pula iaitu, Sultan Muhammad Syah, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau’d-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah. Karya Sulalatus Sulatin istimewa kerana memberi pandangan terhadap pembaca mengenai paparan sikap setiap pemerintah dalam pemerintahannya. Pembaca dapat menilai sendiri setiap tindakan pemerintah yang membawa kebaikan dan keburukan dalam masyarakat. Terdapat pemerintah yang bertanggungjawab tentang nasib dan masa depan puterinya dan menjaga kebajikan rakyatnya daripada teraniaya. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kumia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah per­aduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi."
                                                                                   (A.Samad Ahmad :1979: 25)

Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman. "Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia." Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu Hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Haru ba Melayu itu derhaka dan menitikkan darah­nya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga. "
                                                                                   (A.Samad Ahmad :1979:25)

            Walau bagaimanapun, terdapat juga sultan yang tidak bermoral sebagai pemerintah. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah yang suka berfoya-foya, kuat nafsu, dan terlibat dengan perkara maksiat. Antara sikap sultan mahmud yang menunjukkan baginda mengetepikan nilai moral melalui peristiwa baginda berjahat degan isteri Tun Biajid ketika suaminya tiada di rumah. Namun, ketika usia baginda meningkat tua, baginda telah mengubah sikapnya menjadi seorang yang memegang nilai-nilai positif. Keinsafan baginda jelas terpancar apabila baginda meninggalkan banyak wasiat berunsurkan nasihat.

4.1.2    Bendahara

Bendahara merupakan pembesar negeri yang paling kanan dan menjadi ketua penasihat kepada sultan dalam starata masyarakat Melayu yang terdapat dalam karya agung Sulalatus Salatin. Bendahara juga memegang tugas sebagai pemangku sultan jika sultan masih kecil. Sebagai contoh, Bendahara Paduka Raja Tun Perak melaksanakan pemerintahan sewaktu Sultan Mahmud Syah Masih kecil.
            Selain itu, bendahara memegang beberapa tugas lain seperti berkuasa menyelesaikan masalah tertentu tanpa merujuk sultan. Misalnya, Bendahara Seri Maharaja menyelesaikan perselisihan antara Raja Mendaliar dengan Nina Ura Dewana. Bendahara turut berkuasa memberi arahan tanpa perintah raja dalam starata masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Seseorang bendahara merupakan orang yang penting dalam organisasi masyarakat apabila bertindak sebagai pemimpin apabila berlaku peperangan dan berpengaruh dalam memilih pengganti sultan.
            Antara beberapa orang bendahara dalam karya agung yang memegang pucuk kepimpinan keagungan Kesultanan Melayu Melaka iaitu, Tun Perak, Tun Ali, dan Tun Mutahir. Tun perak merupakan salah seorang bendahara yang berwibawa kerana beliau merupakan seorang yang pintar, cekap, berani dan sangat rapat dengan sultan.      Oleh itu, beliau memegang jawatan di bawah empat pemerintahan iaitu, zaman Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau’d-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah.
            Kebijaksanaan Tun Perak dapat dilihat apabila beliau bijak mengatur strategi perang untuk mencapai kejayaan tanpa pertumpahan darah. Beliau bijak kerana menggunakan tipu helah dengan menambat puntung api pada kayu-kayu di sepanjang sungai. Sehubungan itu, pihak Siam menggangap angkatan Melaka sangat ramai untuk menyerangnya. Bendahara berkuasa dan berpengaruh dalam melantik dan memilih pengganti sultan. Situasi ini dapat dilihat apabla Bendahara Paduka Raja Tun Perak enggan menyembah Raja Muhammad (Raja Muda) setelah tragedi pembunuhan Tun Besar menyebabkan Sultan Mansur Syah terpaksa "mengalah" dan menyingkirkan Raja Muhammad dari takhta Melaka dan dirajakan di Pahang.

4.1.3    Penghulu Bendahari

Seterusnya, penghulu bendahari merupakan orang ketiga terpenting dalam starata masyarakat dalam  Sulalatus Sulatin. Penghulu bendahari bertindak sebagai bendahari raja dalam melaksanakan tugas dalam negeri. Penghulu bendahari melaksanakan tugasnya dalam masyrakat sebagai pemmungut hasil  negeri termasuk hasil yang ddipungut oleh syahbandar. Beliau juga menyimpan daftar bilangan hamba dan mengurus kelengkapan dalam istana.
Oleh itu, beliau bertanggungjawab menyuruh penghulu balai menghias balai, membentang tikar, menggantung tabir, dan langit-langit. Bukan itu sahaja, penghulu bendahari memegang usungan di sebelah kanan apabila raja berangkat secar berusungan pada hari raya. Gelaran yang diberikan terhadap penghulu bendahari ialah Seri Nara Diraja.
Berdasarkan sulalatus salatin jawatan Seri Nara Diraja dipegang oleh tun ali. Tun ali ialah Anak Mani Puridan bersama Tun Ratna Sari. Pengaruh Seri Nara Diraja sangat kuat dalam institusi Kesultanan Melayu Melaka kerana beliau merupakan pembesar terpenting dalam rancangan merampas taktha Melaka yang dikuasai Raja Rekan. Rampasan ini berhasil disebabkan oleh kebijaksaannya tokoh ini. Seri Nara Diraja sangat berpengaruh semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Tokoh ini mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan sultan menyebabkan segala kemahuannya dituruti sehingga Seri Wak Maharaja terasa tersingir dan tidak dipedulikan. Situasi ini dapat dilihat melalui petikan teks di bawah.

Hatta maka Bendahara Seri Amar Diraja pun hilanglah, maka Tun Perpatih Sedang, anak Bendaharalah pula jadi Bendahara bergelar Bendahara Seri Wak Raja juga, tetapi sungguhpun jadi Bendahara sekadar nama sahaja, yang orang besamya Seri Nara Diraja juga; barang suatu katanya tiada dilalui raja,
     (A.  Samad Ahmad, 1979: 87)

Seri Nara Diraja pun sudah hilang, cucunya yang bernama Tun Ali, anak baginda Mani Purindan pula jadi Penghulu Bendahari menggantikan nindanya bergelar Seri Nara Diraja juga.
                                                                                                   (A. Samad Ahmad, 1979:83)

 4.1.4    Temenggung

Temenggung bertanggungjawab sebagai pelaksana undang-undang dan peraturan negeri dalam starata masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Beliau bertugas sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, menangkap orang yang bersalah, dan menjalani hukuman. Temenggung melaksanakan kawalan dalam negeri. Keadaan ini jelas dilihat dalam karya Sulalatus Salatin apabila Melaka diancam pencuri ketika pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Selain itu, temenggung juga bertanggungjawab dalam hal-hal yang melibatkan protokol seperti mengatur tempat pembesar mengikut status. Temenggung turut bertugas mengepalai gajah ketika raja menaiki gajah.

4.1.5    Syahbandar

Syahbandar merupakan orang yang mengawal aktiviti segala dagang dalam starata masyarakat sulalatus masyarakat. Beliau bertanggungjawab atas urusan di kuala seperti memeriksa perahu masuk dan keluar. Syahbandar juga melaksanakan tugas dengan menyelia pedagang-pedagang yang menurun barang dari kapal dan memungut cukai daripada pedagang.

4.1.6    Laksamana

Laksamana dilantik daripada keturunan hulubalang. Laksamana bertanggungjawab menjaga negeri daripada ancaman di laut dan darat. Sebagai contoh, laksaman Hang Tuah menghalang Semerluki dari Makasar yang datang merosakkan tanah jajahan Melaka. Laksamana juga berperanan memikul pedang kerajaan dalam istiadat rasmi. Berdasarkan Sulalatus Salatin menceritakan cara Hang Tuah diberi pengiktirafan yang tinggi setelah berjaya membunuh hang jebat yang dianggap pengkhianat.
Selain itu, laksamana turut menjaga keselamatan dan maruah bendahara sekiranya terdapat orang yang menghina atau biadap kepada bendahara. Misalnya, Laksamana Khoja Hassan tidak teragak-aagak membunuh Tun Perpatih Hitam yang berkelakuan kurang sopan iaitu, menguis tikar dengan kaki di hadapan Bendahara Seri Maharaja. Laksamana juga bertugas sebagai pengawal istana.
Keperwiraan seorang laksamana dapat ditelusuri melalui tokoh laksamana yang bernama hang tuah. Asal keturunan hang tuah berasal daripada anak raja bajung yang menetap di negeri bajung dari kepulauan mengkasar. Nama sebenar hang tuah ilah daeng mempawah. Gelaran Hang Tuah diberikan oleh Sultan Mansur Syah. Ketika Hang Tuah dibawa ke Melaka umur tokoh ini hanyalah berusia 12 tahun. Beliau merupakan seorang yang hebat dalam bermain senjata dan ilmu hulubalang.
Hang tuah telah memegang jawatan sebagai laksamana ketika pemerintahan kerajaan Melayu Melaka dengan membantu sultan dalam peperangan. Tokoh ini telah menyertai angkatan perang melaka menyerang dan menakluk negeri-negeri lain bagi meluaskan tanah jajahan takluk. Situasi ini dapat dilihat dalam karya Sulaltus Salatin apabila beliau mengiringi Bendahara Paduka Tuan dan Seri Bija Diraja menentang angkatan perang Haru yang merosakkan jajahan Pasai dan tanah jajahan Melaka. Hang Tuah juga turut mengiringi Sultan Mansur Syah dalam rombongan diraja ke Majapahit. Hal ini demikian kerana tugasnya bertanggungjawab ke atas keselamatan sultan.
Tambahan lagi, ketokohan Hang Tuah dalam sistem pemerintah dalam susun lapis masyarakat sesuah kerajaan dapat dilihat dalam karya Sulaltus Salatin apabila beliau mengetui angkatan perang melaka menumpaskan kegiatan lanun yang mengancam keselamatan Melaka. Kegiatan ini dilakukan oleh anak Raja Mengkasar yang menjalankan kegiatan lanun di tanah jajahan Melaka. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Diceriterakan orang yang empunya ceritera selama Hang Tuah dalam Melaka itu, ia membunuh orang yang mengamuk tujuh puluh empat orang, barang yang tiada dapat siapa-siapa mengembari dia, maka ialah yang mengembari; demikianlah peri Hang Tuah dalam Melaka. Jikalau ia bergurau sama muda­muda maka disingsingnya tangan bajunya, maka ia memengkis katanya, "Laksamana akan lawanku," maka jadi disebut­-sebutlah namanya oleh samanya muda-muda "Laksamana". Maka Sultan Mansur Syah pun turut menyebut nama Hang Tuah itu Laksamana.
                                                                                                (A.Samad Ahmad, 1979:119)

Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Mala semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Merupawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah; maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah keris terupa Melaka dengan selengkap perhiasannya.
                                                                                             (A.  Samad Ahmad, 1979: 105)

4.2       Golongan Diperintah

4.2.1    Rakyat

Rakyat merupakan orang yang diperintah dalam sebuah pemerintahan. Mereka mengamalkan kehidupan dengan aktiviti perniagaan, aktiviti di laut, dan bertani. Salah satu peristiwa yang memaparkan aktiviti masyarakat dalam Sulalatus Salatin ialah aktiviti berniaga. Sitausi ini digambarkan apabila seorang perempuan yang ingin membuka kedai namun terlihat tangan orang yang ingin mencuri lalu menjerit. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
       Telah hari siang maka perempuan yang punya kedai itu pun hendak membuka kedai, maka di­lihatnya lengan orang tersampai pada alang kedainya itu; maka ia pun terkejut, lalu menjerit. Maka daripada hari itulah datang kepada akhirnya, tiada pencuri lagi dalam negeri Melaka.
                                                                                                  ( A.Samad Ahmad, 1979:175)
          
 4.2.2    Hulubalang

Hulubalalng memegang peranan yang penting susun lapis masyarakat dalam Sulalatus Salatin. Hulubalang sangat berperanan dalam sesebuah pemerintahan beraja. Hulubalang bertanggungjawab sebagai ketua utusan Melaka. Situasi ini dipapar dalam Sulalatus Salatin melalui watak Tun Bijaya Sura. Tun Wijaya Sura merupakan orang yang diberi tanggungjawab oleh sultan untuk menjadi ketua utusan dalam rombongan melaka ke majapahit. Tokoh ini mempunyai kehebatannya yang tersendiri sebagai hulubalang melalui permainan keris dan   mengatasi pahlawan Majapahit. Tun Wijaya Sura juga berperanan mempertahankan maruah sultan dan kerajaan Melaka. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

     Maka Tun Bijaya  Sura pun menyembah, lalu bangkit berlayam menari. Setelah   hampir dengan anjing itu, maka dikirapnya utar-utar itu; maka gemerincinglah bunyi segala genta itu. Maka anjing itu pun terkejut, putus rantai emas itu, lalu lari ke hutan, terus hilang. Maka tun bijaya sura pun bermainlah sapu-sapu rengit. Maka seri bitara pun tersenyum melihat penjenaka Tun Bijaya Sura itu; dalam hatinya berkata , “sangat bijaksana raja melayu ini, semua hambanya cerdik belaka;ia membalas akan tuannya mengadap anjing, maka kakinya pula disuruh hadap kepada kita.”
                                                                                               (A. Samad Ahmad: 1979:122)

            Keistimewaan hulubalang yang bernama Tun Wijaya Sura ini juga digambarkan melalui tindakan pintar membuat helah, cepat berfikir, dan hebat menjawab setiap persoalan. Beliau juga mahir dalam adat jawa dan menjaga 40 keris yang diaugerahkan dengan selamat.

4.2.3        Hamba

Strata masyarakat paling rendah dalam masyarakat yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah hamba. Kebiasaannya, hamba akan menjadi milik raja untuk membantunya dalam sistem pemerintahan dan hidupan seharian. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar, hamba digunakan untuk membantu baginda dalam sistem kehidupan seharian. Baginda sangat menaruh kepercayaan terhadap hambanya. Salah seorang hamba raja ialah Badang. Badang merupakan hamba kepada Seri Rakna Wikrama. Baginda menjadikan Badang sebagai hamba kerana terpesona dengan kebaikannya. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
                       Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
                                                                                                       (A. Samad Ahmad,1979:5)

Sebermula kedengaranlah ke Singapura, maka oleh Seri Rakna Wikrama disuruh baginda panggil, maka Badang pun datang mengadap; maka dilihat baik akhlaknya; dijadikan baginda "sandim sani". Berapa lamanya Badang menjadi Hamba ke bawah duli baginda, maka ada pada suatu hari Seri Rakna Wikrama santap hendak berulam buah kuras.
                                                                                                   (A. Samad Ahmad ,1979:49)

5.0  Kesimpulan

Secara tuntasnya, Sulalatus Salatin dapat menggambarkan keagungan kerajaan Melayu Melaka yang diperturunkan kepada masyarakat pada masa kini. Dengan ini, masyarakat akan dapat mengetahui dan mempelajari adat istiadat Kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat. Keagungan Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat dilihat melalui segala adat istiadat dan pantang larang yang menunjukkan perbezaan ketara dengan golngan rakyat.  Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkan mereka kerana melalui adat dan pantang larang.
            Sistem pentadbiran yang tersusun juga digambarkan dengan wujudnya sistem pentadbiran dan susun lapis masyarakat dalam sesebuah pemerintahan.  Keadaan ini dapat dilihat kerajaan Melayu mempunyai raja sebagai pemerintah dibantu oleh pembesar-pembesar yang berwibawa bagi melancarkan perjalanan pentadbiran negeri. Sehubungan itu, karya ini banyak memberi manfaat dalam pembentukan sebuah pemerintahan yang mantap. Adat istiadat juga mengajar masyarakat untuk berdisiplin dalam setiap tindakan.




VIDEO BERKAITAN KARYA SULALATUS SALATIN






Wednesday 24 April 2013

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU




DEFINISI MELAYU.

Menurut Alias (1998), istilah ‘Melayu’ terbit daripada perkataan Sanskrit ‘Malaya’ atau mungkin dari perkataan Tamil ‘Malai’ yang kedua-duanya bererti ‘bukit’ atau  ‘tanah tinggi’. Mengikut Profesor Slametmuljana, nama ‘Melayu’  berasal daripada  perkataan Sanskrit. Kata tersebut berkembang di dua tempat yang berbeza. Di seberang sebelah utara Selat Melaka perkataan tersebut mengekalkan  sebutan aslinya iaitu ‘Melaya’ manakala di seberang sebelah selatan mengalami perubahan bunyi kepada ‘Melayu’.

M. Ptolemy telah menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis sekitar tahun 100-150 Masikhi. Menurut Gerini, istilah ini diambil daripada kata bahasa Sanskrit malaya kolam atau kurram, iaitu merujuk kepada suatu tempat di utara pantai Semenanjung Malaysia. Perkataan Melayu juga dapat dikesan dalam sebuah kitab Hindu Purba yang berjudul Purana. Dalam kitab tersebut, terdapat perkataan Malaya dvipa.

Sementara itu, menurut para penyelidik, perkataan tersebut merujuk kepada Pulau Sumatera, yang merupakan tempat asal bahasa Melayu. Selain itu, perkataan Melayu ditemui di dalam tulisan China yang bertulis pada zaman Dinasti Tang. Tulisan ini menyatakan bahawa orang menyatakan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirim utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China. Para penyelidik percaya bahawa kerajaan Mo-lo-yeu yang dimaksudkan itu berpusat di daerah Jambi, Sumatera. Terdapat lagi dalam tulisan China yang menyebut perkataan Melayu iaitu pada catatan seorang rahib Buddha yang bernama I-Tsing. Beliau menggunakan istilah Mo-lo-yu pada dua kerajaan iaitu Kerajaan Melayu berpangkalan di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. I-Tsing juga menyatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mengajar bahasa Sanskrit dan falsafah agama Buddha. Menurut China yang singgah di Nusantara, bahasa yang dituturkan di Sriwijaya ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini telah dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan komunikasi. Para penyelidik berpendapat bahawa bahasa K’un-lun ini adalah bahasa Melayu Kuno. Catatan pengembara Chhina ini membuktikan bahawa bahasa Melayu Kuno telah digunakan sebagai bahasa pengantaraan atau lingua franca pada zaman kerajaan Sriwijaya.

Menurut Jamilah (2004), dari segi akademik, konsep Melayu merupakan konsep yang meliputi ruang yang luas dan tempoh masa yang panjang akibat daripada keluasan dan bilangan penuntur bahasa tersebut. Banyak pendapat yang diutarakan oleh para sarjana tentang konsep Melayu. Pada awalnya, istilah ‘Melayu’ dikaitkan dengan konsep kerajaan. Ini berdasarkan bukti-bukti sejarah yang menunjukkan bahawa perkataan Melayu hanya merujuk kepada kerajaan atau kawasan dan bukan merujuk kepada bangsa.

Di samping itu, penggunaan istilah ‘Melayu’ pada peringkat awal ini dapat dikesan sekitar circa 100-150 M. Pada tahun 1972, United Nations Educational, Scientific And Cultural Organisation (UNESCO);  telah memberikan pengertian bari tentang konsep Melayu. Istilah Melayu itu kini digunakan untuk merujuk kepada suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

Di Malaysia, satu ciri khusus telah ditambah untuk menerangkan konsep Melayu; iaitu agama Islam. Isitilah Melayu menurut Perlembagaan Malaysia ialah manusia yang menunturkan bahasa ibunda, mengamalkan cara hidup Melayu dan menganut agama Islam. Berdasarkan pengertian tersebut, konsep Melayu akhirnya berfungsi sebagai nama kolektif yang merujuk kepada satu kesatuan bahasa dan bangsa, iaitu bahasa Melayu dengan bangsanya; bangsa Melayu.

Seterusnya, pemahaman mengenai konsep Melayu ini penting kerana konsep inilah yang menjadi korpus kajian kerana ianya seringkali menjadi tema penulisan sajak-sajak Mohamed Latif Mohamed. Tambahan lagi sajak-sajak yang terpilih ini mula ditulis seawal tahun 1974; iaitu pada masa berakhirnya era penjajahan Inggeris dan Jepun dan bermulanya zaman kebangkitan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Meskipun perkataan Melayu itu sendiri tidak digunakan secara tepat dalam merujuk pada makna asas Melayu dalam erti kata yang sebenarnya; namun penggunaan perkataan –perkataan di dalam sajak-sajak yang terpilih ini turut mempunyai hubunga secara tidak langsung dan merujuk pada makna Melayu sebagai satu bangsa Melayu yang telah sedia wujud di kepulauan Nusantara sejak berkurun lamanya.     Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari (2005), terdapat beberapa pengertian Melayu dari pelbagai aspek. Antaranya adalah seperti berikut :

1.      Melayu mengikut Perlembagaan negara Malaysia. Di sini yang dikatakan Melayu ialah orang yang lazim berbahasa Melayu, berkebudayaan Melayu dan beragama Islam dan dia mestilah warganegara Malaysia. Pengertian dalam  Perlembagan itu telah termaktub pada Ceraian 160 Perlembagaan Malaysia. Ia telah sejak Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 dahulu.

2.      Melayu dari segi suku bangsa, yang bermaksud mereka ini mestilah daripada keturunan suku Melayu dari sei darah dagingnya,bertutur bahasa atau dialek Melayu dan berkebudayaan serta beradat resam Melayu. Agama Islam tidak menjadi syarat. Suku Melayu jeni ini terdapat di Semenanjung Malaysia, termasuklah Thailand Selatan, Pantai Sarawak, Pantai Sabah, Pesisir Kalimantan, Indonesia, Pantai Timur Sumatera, dari Tamiang hingga Palembang dan Bengkulu, di Kepulauan Riau-Lingga serta Bangka-Belitung.

3.      Melayu dari suku bangsa mempunyai satu pengertian lagi, iaitu syarat beragama Islam itu mesti ada, tetapi sebaliknya syarat keturunan darah suku Melayu ditiadakan. Ini bermakna jika terdapat suku lain memeluk Islam dan tinggal dalam kalangan orang Melayu ia menjadi Melayu. Pertukaran agama menjadi Islam itu dikatakan masuk Melayu. Ini pernah berlaku di Sarawak, Tanah Melayu, dan Sumatera Timur.

4.      Melayu dari segi pengertian yang didukung oleh UNESCO Melayu itu merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama, bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus dan tinggi yang sederhana dan mereka ini adalah penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar, iaitu dari Madagaskar di pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau Paskah di lautan Pasifik. Dengan kata lain, Melayu di sini merupakan satu stock bangsa yang sejak beberapa lama dahulu dikenali sebagai Malayo-Polynesia atau Austronesia yang sering dipakai sekarang. Ini bererti Melayu itu merangkumi pelbagai suku kaum seperti Aceh, Batak, Lampung, Sunda, Jawa, Bugis, Filipino dan lain-lain.


ETIMOLOGI MELAYU

Etimologi bermaksud kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. Menurut Mohd Rashid (2007), melayu itu terbit daripada perkataan Sanskit ‘Malaya’ atau daripada perkataan Tamil ‘Malai’ yang ertinya ‘bukit’ atau ‘tanah  tinggi’. Orang Portugis memelatkannya sebagai ‘Malayo’. Mengikut sejarah, bangsa yang bernama Melayu itu diam di sebuah kawasan anak sungai bernama Sungai Melayu di hulu Sungai  Batang Hari atau sekarang terkenal dengan nama Sungai Jambi. Di kawasan hulu Sungai Jambi itu ada sebuah Kerajaan Melayu semasa sebelum terkenal Kerajaan Serivijaya atau Palembang Tua.

Sementara itu, perkataan “melayu’’ dikatakan daripada perkataan Mo-lo-yeu. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa catatan oleh para pengembara. Antaranya penemuan catatan pemgembara Cina sekitar tahun 644-645 M. Catatan Rahib Buddha bernama I-Tsing yang singgah di Srivijaya pada 672 M mengatakan bahawa Bahasa Melayu digunakan di Palembang. Manakala pengembara Portugis, Godinho de Erachia, mengatakan Bahasa Melayu  dalam perhubungan di Kepulauan Melayu dengan pedagang-pedagang dari Asia Barat, India dan China. Perkataan Melayu pada  Kerajaan Mo-lo-yue di Jambi, Sumatera, sempena sebatang sungai yang dipanggil “Sungai Melayu’’.  Bagi salasilah Bahasa Melayu, dalam kajian rumpun dan Keluarga Bahasa Melayu, kita perlu memahami istilah yang penting. Antaranya istilah tersebut yang perlu difahami ialah filum iaitu kelompok bahasa seusia 5000 tahun, rumpun pula kelompok bahasa 2500-5000 tahun dan keluarga merupakan kelompok bahasa seusia kurang daripada 2500 tahun.

Istilah Melayu juga disebutkan diambil daripada perkataan bahasa Jawa Kuno, mlayu, yang bermaksud ‘mengembara’ atau ‘pergi ke mana-mana’’. Maksud perkataan ini dikatakan sesuai dengan orang Melayu yang dikatakan berpindah dari Yunan menuju ke kawasan Selatan, menyeberangi  Selat Melaka dan mendarat di Pulau Sumatera. Menurut Nik Safiah Karim (2010), asal usul orang Melayu, iaitu penuntur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Beberapa teori telah mengatakan bahawa penuntur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan menjelajah ke Selatan, dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia, dan menduduku wilayah Asia Tenggara. Ini berlaku sejak tahun 2500 sebelum Masihi, iaitu berlaku dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto; kemudian, kira-kira dalam tahun 1500 Sebelum Masihi, datang pula gelombang yang kedua, golongan yang disebut Melayu Deutro. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.

Menurut Abdul Rashid (2005), dalam kajian Zuber Osman sebelum menentukan apa itu bahasa Melayu, terlebih dahulu tentukan pengertian perkataan ‘Melayu’.  Perkataan Melayu berasal daripada ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ‘Malaya’, dan kemudiannya menjadi Melayu. Perkataan ‘Himalaya’ berasal daripada perkataan ‘hima’ dan ‘alaya’. ‘Hima’ bererti salji atau salju. Sedangkan ‘alaya’ bererti tempat. Dengan itu hima alaya maksudnya tempat sejuk, seperti di puncak gunung yang tinggi.

Manakala ada juga pengkaji yang mengatakan  bahawa Melayu itu daripada  perkataan ‘Malaiyur-pura’ yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak I di Sumatera Barat yang bererti kota Malaiyur, atau kota gunung. Dari situ timbul perkataan malaiyur = malaiyu = malayu = melayu. Pada Batu Bersurat Bukit Gombak Stau di Sumatera barat, tercatat perkataan Melayu Pura bermaksud ‘kota Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’. Dengan kata lain, istilah Melayu diambil daripada perkataan Malayapura

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan ‘pamalayu’, iaitu peristiwa ketika berlaku penyerangan oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur di Hulu Jambi di sempadan Sumatera Barat. Kemudian di situ didirikan sebuah prasasti, iaitu prasasti Amoghapasa. Prasasti itu dibina sebagai peringatakan tentang berlakunya ekspedisi angkatan perang dari Jawa Timur tadi ke daerah Melayu pada tahun 1286. Pamalayu itu bermaksud Ekspedisi Malayu, iaitu penyerangan dan  seterusnya penguasaan terhadap negeri Melayu. Perkataan Melayu itu berasal daripada perkataan Jawa Kuno dan Jawa Baru, iaitu mlaya dan mlayu yang bererti lari.

Akhir sekali, pendapat mengatakan perkataan Melayu berasal daripada Malayu, iaitu sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi. Kerajaan Malayu ini terwujud pada abad ke-7 (644M) dan  pernah dilawati oleh I-Tsing pada 671 M. Nama Malayu bagi kerajaan Malayu ini berasal daripada nama sebuah sungai yang terletak di situ, iaitu Sungai Melayu. Penamaan kerajaan aatau negeri daripada nama sungai adalah perkara biasa dalam budaya Melayu, seperti nama Negeri Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak, Perak, Kedah, Siak, Terengganu, Inderagiri dan banyak lagi yang berasal daripada nama sungai. Tetapi bagaimana pula nama sungai diberi Melayu, tidak yang lain? Mengikut ceritanya air di sungai itu begitu deras arusnya, selaju orang berlari. Dengan itu ia diberikan nama sungai Malayu atau Melayu. Melayu di sini sama dengan pengertian dalam bahasa Jawa, iaitu lari. Menurut Asamah Hj Omar (1993), pengetahuan tentang asal usul bangsa Melayu diperolehi dari bahan-bahan peninggalan purbakala. Dengan itu, orang-orang Melayu dan orang-orang yang seketurunan dengannya di seluruh Kepulauan Melayu dikatakan berasal dari Tanah Besar Asia.


RUJUKAN
Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2005), Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:                 Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


Alias Mohammad Yatim (1998), Mengenali Bahasa Melayu. Kedah : Peercetakan  Paavai.


Asmah Hj Omar (1993), Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Percetakan T.I

Jamilah Syed Ahmed ( 2004 ), Konsep Melayu, Perjuangan & Kemunduran dalam Sajak-sajak            Mohamed Latif Mohamed : Satu Analisis Makna. Akedemi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur :                 Univesiti Malaya.

James T. Collins (2005), Bahasa Melayu Bahasa Dunia : Sejarah Singkat. Jakarta : Yayasan                   Obor Indonesia.

Muhammad Haji Salleh (1997), Sulalatus Salatin Ya’ni Pertuturan Segala Raja- Raja/karangan             Tun Seri Lanang. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan & Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh (2009), Sulalat al-Salatin Ya’ni Pertuturan Segala Raja-Raja/karangan             Tun Seri Lanang. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan & Dewan Bahasa dan  Pustaka.

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU


Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan dalam aspek budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan sehingga hari ini bersama sesuatu bangsa. Sementara itu, karya ini dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya dan tamadun bangsa. Manakala karya agung Melayu pula ialah  karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu yang terdahulu kala dalam menyampaikan wahana idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi sesuatu bangsa itu sendiri. Melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman yang terkandung dalam pemikiran tamadun Melayu.
 Karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis, diungkapkan atau dilisankan seperti pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain dalam  bahasa Melayu yang tidak mengira kelompok, bangsa, etnik yang terdapat dalam kawasan dunia Melayu. Erti kata Melayu dalam karya agung tidak dapat dikenal pasti secara langsung, tapi berdasarkan  penulisan hikayat ini dapat membuktikan wujudnya Melayu itu berdasarkan  peristiwa berlaku pada dahulu kala. 
Sumber:
http://yayasankaryawan.com/index.phpoption=com_content&task=view&id=6&Itemid=1

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG

ABDULLAH MUNSYI PENGARANG HIKAYAT ABDULLAH

ABDULLAH BIN ABDUL KADIR MUNSYI (HIKAYAT ABDULLAH)
BIOGRAFI
  •  Nama : Abdullah Bin Abdul Kadir
  •  Nama gelaran : Munsyi Abdullah
  • Keturunan: India Muslim berketurunan Arab
  • Tempat kelahiran: Kampung Pali, Melaka (1976)
  • Bilangan adik-beradik: Anak bongsu daripada empat adik-beradik
  • Bahasa yang dikuasai: Melayu, Arab, Tamil, Hindustan, Inggeris.
  •  Pekerjaan: penulis, penterjemahan buku, guru
  • Meninggal dunia di Jeddah (1845).

KERJAYA
  • Beliau mula bekerja dengan bapanya iaitu menolong bapanya menyalin dokumen dokumen penting.
  •  Bekerja sebagai pentafsir dan jurutulis kepada Sir Stamford Raffles.
  • Membantu  Paderi Thomson dan Milne menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu.
  •  Pernah menjadi guru bahasa Melayu kepada askar Inggeris berketurunan India.
  • Pernah memangku jawatan pengetua di Anglo-Chinese College ketika Paderi Thomson pulang bercuti di England.
  • Beliau juga telah mentafsirkan cerita-cerita turun-temurun agama Hindu.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
  • Munsyi Abdullah diberi pendidikan membaca dan menulis sejak berusia tujuh tahun.
  • Beliau diajar mengaji Al-Quran  dan tulisan jawi serta tatabahasa  Melayu oleh bapanya sendiri.
  • Ketegasan ayahnya menggesa beliau belajar  menjadi faktor  yang menyebabkannya suka kepada pelajaran atau menuntut ilmu.

KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN
  • Syair Singapura Terbakar (1830)
  • Kisah Pelayaran Abdullah (1838)
  • Hikayat Abdullah (1849)
  •  Dewa-ul-Kulub (1883)
  • Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920)

SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT
  •  Pencetus zaman moden dalam masyarakat Melayu.
  • Digelar “Bapa Pemodenan Melayu” kerana beliau memulakan tradisi penulisan tentang kisah-kisah masyarakat, dan tidak lagi tentang mitos dan dongeng atau sejarah pemikiran raja-raja feudal seperti yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah dan Tun Seri Lanang.
  • Seorang pencinta ilmu terutamanya bahasa.
  • Mempunyai sikap yang terbuka terhadap ilmu-ilmu baharu yang diperkenalkan oleh Inggeris.
  • Contohnya :  alat cap-mengecap, kuasa elektrik,ilmu perubatan, ilmu kira-kira.
  • Beliau mempunyai pendapat tentang kepentingan penyusunan semula nahu bahasa Melayu.
  • Abdullah bersetuju dan mendesak supaya ibu bapa anak-anak orang Melayu pada zaman itu menghantar anak-anak mereka belajar bahasa Melayu. Pada zaman itu, adat orang Melayu ialah menghantar anak-anak mereka mengaji Al-Quran sehingga khatam. Sebaliknya, pelajaran bahasa Melayu mereka abaikan, kerana dianggap “tidak penting” dalam konsep kehidupan mereka, yang memisahkan kehidupan dunia dari akhirat.

FALSAFAH ABDULLAH MUNSYI
“ Jikalau sekiranya ada umur-umur
seribu tahun sekalipun, maka janganlah
engkau takut membelanjakan dia sebab menunutut ilmu, itu kerana dapat tiada segala hamba Allah dalam duniaini semuanya mengkehendaki kebesaran, ilmu itulah tangganya.”

Sumber :


RAJA ALI HAJI PENGARANG THUFAT AL-NAFIS

RAJA ALI HAJI (THUFAT AL-NAFIS)

BIOGRAFI
  • Nama penuh : Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad Al-Hajj Ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak Alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau.
  • Tahun dilahirkan : 1809 M
  • Tahun meninggal dunia : 1870 M
  • Tempat asal : Pusat Kesultanan Riau –Lingga di Pulau Penyengat (kini termasuk dalam Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia).


LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
  • Raja Ali Haji  dibesarkan dalam keluarga yang memiliki latar belakang pendidikan keagamaan  dan keilmuan yang kuat.
  • Sejak kecil ayahnya telah mendidik beliau untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama dengan baik.
  • Pernah menuntut ilmu sehingga ke Mesir dan Mekah.


KERJAYA
v  Pernah menjawat berbagai-bagai jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor.
v   Menjadi guru agama yang mengajar tatabahasa, fiqah dan tasawuf.
v   Mengajar bahasa Arab.

SUMBANGAN
  •  Raja Ali Haji merupakan seorang penulis yang berbakat pada  zamannya.
  • Sumbangan beliau meliputi lapangan bahasa, kesusasteraan, sejarah dan agama.
  • Banyak bahan penulisan beliau telah menjadi bahan kajian  para sarjana


HASIL KARYA
Bidang bahasa : Bustanul – Katibin (1850 M)
                         Kitab Pengetahuan Bahasa  (1858 M)  1865
Bidang sastera: Gurindam Dua Belas (1846 M)
                        Syair Siti Sianah
                        Syair Abdul Muluk
                        Syair Taman Permata
Bidang Sejarah:  Kitab Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M)
                          Tuhfat al-Nafis (1865 M)
Undang-undang: Thamarat al-Muhamed
                        Mukaddimah Fi Intizam al-Wazir al-Malik  (1857)