Analisis Stilistik Hikayat Raja Pasai.
Dalam
proses pengkaryaan, struktur dalaman teks Hikayat Raja Pasai (HRP) banyak
diwarnai oleh bentuk-bentuk sastera lisan (unsur-unsur lipur lara, mitos,
legenda, bentuk puisi lisan dan motif sastera lisan). Namun begitu, tidak
ketinggalan naratif HRP juga dibungai dan disulami dengan unsur-unsur keindahan
luarannya, iaitu aspek stilistik.
Aspek stilistik ini merujuk kepada
penggunaan gaya bahasa tertentu (gaya bahasa di sini tidak termasuk intonasi suara,
alat muzik dan hukum-hukum linguistik) dengan pemakaian teknik-teknik lisan
tertentu. Umpamanya, teknik perulangan, skemata, formula atau seiras formula,
yang konsep-konsepnya telah pun diperincikan dan dijelaskan pada bahagian awal
teks.
Oleh
sebab HRP ditulis pada zaman peralihan lisan ke tulisan, teks ini amat dipengaruhi
gaya lisan. Teks HRP (1987), sangat mementingkan dan menekankan penggunaan peranti-peranti
stilistik untuk mengekspresikan sesuatu benda, perkara dan peristiwa. Melalui
peranti stilistik ini, sesuatu objek itu dikemukakan melalui
perincian-perincian secara skemata dan perulangan yang stereotaip, iaitu dalam bentuk-bentuk
formula atau seiras formula.
Dalam
khazanah sastera Melayu tradisional (korpus tradisi lisan), antara keunikan dan
keindahan genrenya, banyak bergantung kepada penggunaan gaya bahasa yang bersukat,
berirama dan berentak dan juga ungkapan-ungkapan berpola yang disampaikan dalam
bentuk rumus-rumus bahasa formula atau seiras formula, berulang-ulang dan
bersifat stereotaip, misalnya seperti yang terdapat dalam cerita-cerita
penglipur lara, iaitu:
Alkisah, inilah peri mengatakan cerita-cerita raja
dahulu kala sedia lama, diceritakan oleh yang
empunya ceritera.
Dalam
teks HRP, ungkapan-ungkapan berpola seperti frasa-frasa yang tetap yang sering
diulang-ulang dan menjadi formula atau seiras formula dipaparkan seperti dalam
contoh yang berikut:
Alkisah peri mengatakan ceritera raja yang
pertama masuk agama Islam ini Pasai (1), maka
ada diceritakan oleh orang yang empunya ceritera
ini (2), negeri yang di bawah angin (3), Pasailah
yang pertama membawa iman akan Allah dan akan
Rasulullah (4).
Petikan ini menggambarkan satu
“opening formula” yang lumrah terdapat dalam cerita-cerita lisan. Segmen (1) hingga
(4), menjelaskan tentang religio-sosiological mengenai raja dan negeri Pasai.
Dalam segmen (3), raja yang pertama di negeri di bawah angin (Nusantara) yang memeluk
agama Islam. Dalam segmen (2) pula, segala peristiwa yang diceritakan ini
diambil daripada “orang yang empunya ceritera ini”, iaitu memberi autoriti atau
kewibawaan kepada sumber tradisi yang merupakan teknik sastera lisan.
Tentulah sukar hendak mengesan
siapakah “yang empunya” ceritera ini, tetapi dapat diduga istilah “yang empunya”
ceritera ini samalah dengan “menurut orang tua-tua dahulu” yang bermakna cerita
ini diambil daripada tradisi lisan yang diketahui umum dalam masyarakat partisipatoris
pada masa itu tanpa diketahui dengan jelas siapa yang sebenarnya pengarang asal
yang menuturkan ceritera ini. Ungkapan pemerian opening formula “Alkisah peri mengatakan
ceritera.” dalam petikan berikut diulang lagi pada halaman berikutnya.
Alkisah maka tersebutlah perkataan Raja Ahmad.
Selang beberapa lamanya, maka baginda pun
berbuat pula sebuah negeri di Balik Rimba itu ada
kira-kira sehari perjalanan daripada negeri adinda
itu. Itupun lengkap
juga dengan kota paritnya
serta dengan istana
balairungnya. Maka baginda
pun duduklah dalam
negeri itu bersuka-sukaan
dengan segala bala
tenteranya makan minum.
(HRP,1987:1)
Permulaan
formula ini juga diulang-ulang lagi di halaman berikutnya, seperti yang
berikut:
Alkisah peri mengatakan ceritera Merah Silau dan
Merah Hasum, diceriterakan oleh yang empunya
ceritera, tatkala ia diam di dalam negeri di dalam
negeri Biruan itu, hatta beberapa lamanya pada
suatu hari Merah Silau itu pergi bermain ke
sungai.
Frasa-frasa,
“maka ada diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini”, “Maka ada raja
dua bersaudara, seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad”,
“Maka diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera. Sekali persetua pada zaman
Nabi Muhammad s.a.w.,” menggambarkan satu pemerian yang lazim untuk permulaan
tradisi lisan.
Unsur-unsur
perulangan dan keselarian dalam memulakan sesuatu pemerian dan peristiwa ini
seperti satu kaedah yang menyediakan kerangka asas dalam ingatan si penutur.
Skema ini menjadi arah pandu penuturnya ketika bercerita, iaitu bagi mengelakkan
si penutur terlupa atau sengaja melakukan penyelewengan. Eric Havelock (1963), menjelaskan
bahawa penggunaan ungkapan atau frasa-frasa tertentu bukan sahaja dapat
memberikan kesan keindahan bagi pendengaran, tetapi juga kesenangan bagi
pengamal cerita mengingatinya.
Dalam
tradisi lisan, aspek perulangan begitu penting disebabkan oleh beberapa kemungkinan.
Pertama, perulangan ini memudahkan si penutur cerita untuk ‘recall and refresh’
kembali daya ingatan dan hafalannya. Khalayaknya sendiri tidak tetap,
Kadangkala ‘mobility’ khalayak berlaku. Justeru, si penutur perlu mengulang semula
kisah sebelumnya.
Ketiga,
si penutur cerita hanya akan menebar dan menuturkan pengetahuan yang telah
sedia dikenali dan dilazimi oleh pendengarnya. Keadaan-keadaan inilah yang telah
mengongkong kuat puitika penciptaan tradisi sastera lisan. Penciptaannya terikat
ketat oleh estetika persamaan yang menetapkan bahawa dasar keindahan terletak
pada persamaan dan perulangan, bukannya pembaharuan. Kecenderungan untuk diterima
inilah yang menyebabkan si penutur cerita mempersembahkan ceritanya secara stereotaip
dan mengulang. Teknik-teknik ini juga berlaku dalam teks HRP. Teknik perulangan
ini dapat dilihat dalam pemerian berikut:
Maka beberapa lamanya baginda pun pergi
berburu ke dalam rimba belantara (1), maka
seekor perburuan tiada diperolehnya (2). Maka
baginda pun bertemu dengan sebuah surau di
tengah rimba belantara itu (3). Maka ada seorang
orang tuha dalam surau itu (4). Maka ujar orang
tuha itu, “Hai, anakku, jikalau tuan hendak akan
anak, baiklah aku tunjukkan dia akan tuan.
Nantilah tuan hamba di sini barang sesaat (5)”.
Maka pada saat itu juga datanglah seekor gajah
terlalu besar (6). Maka ada dimandikannya ia ke
sungai (7). Maka ujar Raja Ahmad, “Hamba hendak
bermohon kepada tuanku kembali dahulu ke
negeri hamba; mana jalan keluar?” Maka
orang tuha itu jalan raya (8). Tiba-tiba
sampailah ia ke negeri (9).
(HRP
1987:2-3)
Dialog
antara Raja Ahmad dengan seorang tua di dalam surau akan diulang oleh Raja
Ahmad dengan isterinya sebaik saja Raja Ahmad kembali ke istana seperti dalam
petikan berikut:
Maka hamba ceriterakan kepadanya akan hal
saudara hamba mendapat puteri dalam rebung
betung itu (1). Maka ujar orang tuha itu, “Jikalau
tuan hendak akan anak, baiklah beri hamba
tunjukkan dia akan tuan. Nantilah tuan hamba di
sini barang sesaat (2)”.
(HRP,1987: 3-4)
Dalam
tradisi lisan, terdapat frasa-frasa tertentu; sama ada dalam bentuk perilaku,
arahan, atau pemerian sesuatu objek, benda dan peristiwa dipetik atau diceritakan
semula kepada orang kedua atau orang ketiga, diulang-ulang selengkapnya oleh
penutur ceritanya, iaitu untuk tujuan untuk memberi penekanan kepada cerita
atau sesuatu pemerian.
Hal
ini juga sama seperti yang dipaparkan dalam kisah pemerian perilaku Raja
Muhammad, apabila diberitahu bahawa Tuan Puteri Buluh Betung telah ghaib
setelah dibantu sehelai rambutnya oleh Merah Gajah. Pemeriannya seperti yang dipaparkan
dalam petikan berikut:
Setelah sudah Raja Muhammad mendengar khabar
inangnya itu, maka, ia pun mengempaskan dirinya
dan membelah-belah bajunya dan mencarik-carik
kainnya. Maka ia pun terlalu marah, maka ia
menghimpunkan segala lasykarnya, maka
didatanginya Merah Gajah itu lalu dibunuhnya.
(HRP,1987: 6)
Reaksi
Raja Ahmad turut diikuti Sultan Malikul Mahmud apabila diberitahu bahawa adindanya,
Sultan Malikul Mansur telah meninggal dunia secara mengejut di atas kubur Perdana
Menterinya, Sayid Semayamuddin di Padang Maya, setelah Sultan Malikul Mansur
kembali dari pembuangannya di negeri Temiang. Reaksi ini dijelaskan seperti
dalam teks berikut:
Setelah sudah didengar oleh baginda khabar
adinda itu, maka baginda pun mengempas-empas
dirinya ke bumi dan membelah-belah bajunya,
lalu ia pengsan, tiada ia khabarkan dirinya sekirakira
sejam lamanya.
(HRP,1987:34)
Dalam
naratif HRP, gambaran kehebatan dalam sesuatu peperangan juga dipaparkan dalam
satu set skema yang agak sama dan diulang-ulang untuk menjadi satu rumus
formula. Misalnya peperangan antara Raja Muhammad dengan Raja Ahmad, Sultan
Malikul Mahmud dengan bala tentera Siam dan Sultan Ahmad dengan tentera
Majapahit. Pemerian kehebatan peristiwa peperangan Raja Muhammad dengan Raja
Ahmad digambarkan seperti berikut:
Maka peranglah mereka itu terlalu ramai kelam kabut.
Maka duli pun berbangkit lalu ke udara
tiadalah berkenalan lagi seorang dengan seorang
jua pun. Maka tempik segala hulubalang dan
segala rakyat juga kedengaran dan gemerencang
bunyi segala senjata dan pendahan segala
pahlawan juga kedengaran. Maka bahananya
datang ke tengah rimba belantara. Maka daripada
kedua pihak lasykar itu banyaklah mati dan luka
sebab beramuk-amukan sama sendirinya dan
berbunuh-bunuhan mereka itu hinggalah mati
kedua-dua raja itu.
(HRP,1987: 6-7)
Begitu
juga pemerian peristiwa peperangan di halaman yang diulang dalam kisah
peperangan antara orang-orang Sultan Malikul Mahmud dengan bala tentera Siam, pemeriannya
seperti berikut:
Maka peranglah mereka itu terlalu gegak-gempita
kelam kabut duli berterbangan ke udara, tiadalah
berkenalan segala manusia dan bunyi tempik
segala hulubalang dan segala rakyat juga yang
kedengaran dan gemerencang bunyi segala senjata
bahananya datang ke tengah rimba. Maka
daripada sangat darab perang itu jadi gempitalah,
maka daripada kedua pihak lasykar itu banyaklah
mati dan luka.
(HRP, 1987: 28)
Dalam
tradisi lisan seluruh pernyataan dan pola-pola lisan adalah dalam bentuk-bentuk
skemata. Ini disebabkan pernyataan cara lain tidak praktis, sia-sia dan tidak
dapat menjadi arah pandu kepada si penuturnya ketika bercerita. Hasil-hasil
pemikiran yang diterbitkan melalui bentuk-bentuk lain hanya bersifat sementara
dan juga untuk mengelak si penutur terlupa atau sengaja melakukan penyelewengan
(W.J. Ong, 1982).
Dalam
naratif HRP, episod yang paling menarik jelas terdapat teknik perulangan, iaitu
episod Tun Beraim Bapa dititah oleh Sultan Ahmad ke Lubuk Turai untuk mencari benda-benda
pelik dan ajaib. Dalam perjalanan ke lubuk tersebut, bermula dari rumah lagi
dan seterusnya setiap persinggahannya, Tun Beraim Bapa akan bertangis-tangisan dan
berpesan kepada sahabat taulannya. Dalam teks HRP, terdapat 5 kali berturut-turut
perkara ini berlaku, iaitu seperti berikut:
Perulangan
pertama
Maka Tun Beraim Bapa pun naiklah baginda
bertangis-tangisan dengan segala isi rumahnya.
(HRP
1987: 50-51)
Perulangan
kedua
Setelah itu, maka lalulah ia ke pekan, maka
baginda berdiri-diri di pekan; maka kata Tun
Beraim Bapa, “Ayuh segala kamu orang pekan,
tiadalah siapa meruah kamu lagi dan bersenda
bergurau dengan tuan-tuan sekalian, karna aku
ini hendak sultan ke hulu sungai, lalu ke Bukit
Fudul Allah, entah kembali entah tiada”.
Perulangan
ketiga
Maka Tun Beraim Bapa pun berjalanlah dari Pintu
Tanani. Maka baginda bertemu dengan Malik
Sulaiman Dendang Air; maka berkata Tun Beraim
Bapa, “Ayuh mamakku Malik Sulaiman Dendang
Air, tiadalah siapa bersenda bergurau dengan tuan
hamba, karna hamba hendak ke hulu sungai ke
Bukit Fudul Allah, entah kembali entah tiada”
Perulangan
keempat
Maka Tun Beraim Bapa pun lalu kembali pula ke
rumahnya bertangis-tangisan, dan segala isi
rumahnya dan hamba sahayanya.
Perulangan
kelima
Setelah itu, maka Tun Beraim Bapa pun turunlah
serta membawa kedua saudaranya itu, lalu ia
berjalanlah dari pekan. Maka sabda Tun Beraim
Bapa, “Ayuh segala tuan-tuan orang pekan,
tinggallah tuan-tuan sekalian. Bahawa aku
mudiklah mengiringi Sultan ke hulu sungai ke
Bukit Fudul Allah entah kembali entah tiada.”
Sumber:
Md.
Nasir Hamid (2004). Bentuk Dan Teknik
Sastera Lisan Dalam Sastera Tulisan: Hikayat Raja Pasai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment