Wednesday, 24 April 2013

RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK

Maksud Seni Retorik dan Gaya Bahasa

Menurut Alias (1998), retorik bermaksud kata-kata indah yang dilafazkan dalam ucapan, pidato, ceramah atau dalam tulisan. Kata-kata indah di sini termasuklah di dalamnya penggunaan  kata atau gabungan kata yang mempersonakan orang yang mendengar atau menyebabkan pendengar berasa gembira. Menurut Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Idris (2010), pengertiaan retorik Melayu setakat ini masih berkisar kepada bentuk-bentuk umum sastera lisan mahupun prosa, seperti mantera, lipur lara, jampi serapah, makyong, pantun dan sebagainya.


Gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera.

GAYA BAHASA

Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’.Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan ragam.  Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai lagi.  Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan.  Gaya bahasa pula membawa maksud cara atau ragam sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan karangan.  Hal ini demikian kerana, melalui penulisan, pembaca tidak boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis sesuatu perkara.

     Penggunaan bahasa terlalu luas terutamanya dalam bidang komunikasi.Komunikasi boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.Komunikasi lisan merupakan komunikasi yang berlaku secara terus dan disampaikan melalui perbualan, manakala komunikasi bukan lisan boleh berlaku dalam penulisan.Gaya dalam komunikasi bukan lisan ialah gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis.  Setiap penulis memiliki gaya penulisan yang berbeza walaupun perkara atau topik perbincangan yang ditulis adalah sama. 

   Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian dan mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera.  Selain itu, gaya bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta merangsang daya pemikiran pembaca.  Penggunaan nilai estetika dalam penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang tersendiri.  Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis gaya bahasa.  Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola dan peribahasa.  Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati bahawa terdapat penggunaan keempat-empat gaya bahasa ini.

Kiasan

Sebenarnya, peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa kiasan.Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan bersopan.Ia terbentuk daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan perkara yang lain.  Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi.Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan peribahasa, perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan pemerintahan tersebut.Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat jelata terhadap golongan pemerintah.

            Dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat penggunaan unsur gaya bahasa berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa kiasan dalam hikayat ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyindir, di samping memberikan nasihat kepada individu yang disindir.  Antara bahasa sindiran yang digunakan oleh penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:

Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :
……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.

(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 43)

Berdasarkan petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas untuk menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa.Seperti yang kita sedia tahu, pisang emas bersaiz dan berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas yang diterangkan sebagai emas yang sangat bermutu tinggi.Oleh hal yang demikian, didapati bahawa penulis ingin menerangkan warna ular cintamani tersebut sangat bersinar seperti emas yang bermutu tinggi.
            Selain ayat di atas, dapat dikenal pasti bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan ini pada halaman yang lain.  Selain daripada menggunakan bahasa kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda, perkara atau seseorang.Berdasarkan ayat di bawa, didapati bahawa penulis berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan fizikal seseorang wanita.Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di bawah, iaitu:

Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,
……. bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, 
berkilau-kilauan.


                            (Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 111)

           Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja.  Bahasa kiasan yang digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur alam sekitar dengan rupa paras seseorang.  Didapati bahawa penulis menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja adalah seperti bulan purnama empat belas hari bulan.Bulan purnama empat belas hari bulan ialah bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat cantik.Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga seperti bulan yang gilang gemilang dan berkilau-kilauan.  Perkataan gilang gemilang dan berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan berseri-seri.

Sindiran

Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan.Ia terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar.  Bahasa sindiran ini merupakan bahasa yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan.Selain disebut sebagai sindiran halus, ia juga dinamakan sebagai ironi dan ia bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi ia juga bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain. 
            Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan masalah dalam sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang Tauh dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 153)
         Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang Tuah menunjukkan keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada.Beliau menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau mampu membunuh penghulu bernama Majapahit.

Peribahasa

Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap didengar.Sebenarnya, peribahasa ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi.Mereka mencipta peribahasa berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.

            Dalam karya Hikayat Hang Tuah,  penulis turut menggunakan peribahasa yang jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa ini.  Peribahasa yang digunakan adalah seperti di bawah, iaitu:

Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna.Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 356)
            Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa ‘sepala-pala jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan.Peribahasa ini telah jarang didengar masa ini.Maksud peribahasa yang digunakan di atas ialah jika sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan.Perkara ini membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga akhirnya.Jelas dilihat peribahasa yang digunakan di atas bertujuan untuk menyindir sikap Laksamana tersebut.

            Peribahasa lain yang terdapat dalam petikan di atas ialah ‘rosak bawang ditimpa jambaknya’.  Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri.  Berdasarkan situasi yang berlaku antara Jebat dan Laksamana Hang Tuah dalam petikan di atas, Tuah menyatakan bahawa perbuatan jahat yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sendiri, malah ia merupakan satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana sikap atau perkara buruk yang telah dilakukan oleh rakannya sendiri iaitu Jebat.


Rujukan
Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris (2010), Teori Balaghah Melayu. Kuala Lumpur :             PUSTAKA  WIDAD
Alias Mohammad Yatim (1998), Mengenali Bahasa Melayu. Kedah : Peercetakan Paavai.


ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONAFIKASI (MAKNA LUARAN) BERDASARKAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN.

Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala, Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih menari untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri. Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif.
Terdapat pelbagai aspek sastera yang menarik dapat dilihat menerusi karya Sulalatus Salatin. Misalnya dalam aspek gaya bahasa. Penelitian karya sastera pada waktu sekarang banyak ditujukan pada penerangan struktur ceritanya seperti tema, watak, latar dan persoalan. Akan tetapi, penelitian terhadap gaya bahasa merupakan salah satu aspek penting terhadap kesusasteraan Melayu klasik ini. Pada umumnya, gaya bahasa yang sering digunakan dalam karya sastera adalah personifikasi. Hal ini demikian kerana, penggunaan gaya bahasa yang berkesan mampu menghasilkan sebuah karya sastera bukan sahaja lebih nyata, tetapi juga menjadikan sebuah karya sastera tersebut lebih menarik dan untuk dibaca. Sehubungan dengan itu, aspek gaya bahasa personifikasi tergolong dalam komponen makna luaran sesuatu karya terutamanya karya Melayu klasik. Aspek ini membawa kepada keindahan yang berbeza terhadap karya Melayu klasik yang sukar diperoleh dalam karya-karya moden yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda pada hari ini.

    KONSEP KEINDAHAN, GAYA BAHASA DAN PERSONIFIKASI DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.
Sulalatus Salatin mempunyai pelbagai gaya bahasa yang seiring dengan tarafnya sebagai sebuah karya agung Melayu klasik. Karya agung ini merangkumi dua aspek makna, iaitu makna dalaman dan makna luaran. Makna yang menjadi fokus utama dalam perbincangan ini ialah makna luaran. Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca termasuk gaya bahasa. Gaya bahasa yang ingin diketengahkan ialah gaya bahasa personifikasi. Oleh itu, penting untuk mengetahui konsep keindahan, gaya bahasa dan personifikasi sebelum dikaitkan dengan penggunaannya di dalam karya Sulalatus Salatin tersebut agar dapat diketahui makna luarannya.
1.1  Keindahan Melayu klasik
Istilah keindahan merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16), beliau merumuskan bahawa terdapat tiga aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan ‘indah’ dengan kata-kata yang seerti. Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh dan manfaat yang terkandung di dalamnya. Keindahannya karya Melayu klasik ini terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar masyarakat serta nilai dan pengajaran .

2.2 Gaya bahasa.
Maksud gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah corak, bentuk, rupa atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. Gaya juga merupakan satu cara menulis atau bercakap. Menurut Nik Safiah Karim (1981), bahasa dapat didefinisikan sebagai lambang-lambang pertuturan yang arbitrari, bersistem dan digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain).
            Gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan  penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan,  secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa  itu. Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Gaya bahasa adalah pemakaian kata-kata kiasan dan perbandingan bagi menggambarkan sesuatu maksud. Pelbagai gaya bahasa dapat dilihat melalui sesuatu bahasa.
Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Pada umumnya, terdapat empat jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa sindiran, gaya bahasa penegasan dan gaya bahasa pertentangan. Namun begitu, dalam penulisan ini, kajian memfokuskan hanya kepada gaya bahasa perbandingan dan melihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu personifikasi yang terdapat dalam karya Sulalatus Salatin.

1.2  Personifikasi.
Personifikasi dikenal juga sebagai pengorangan atau penginsanan.  Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak. Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur melambai-lambai”, “ daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya.
            Oleh itu, terdapat banyak gaya bahasa yang ada dalam karya Sulalatus Salatin yang dikarang semula dalam versi yang lain oleh beberapa orang tokoh seperti A. Samad Ahmad dan Muhammad Haji Salleh. Antaranya ialah gaya bahasa personifikasi dalam karya Sulalatus Salatin. 

 KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONIFIKASI DALAM SULALATUS SALATIN.
Tun Seri Lanang menganugerahkan generasi moden kini dengan sejumlah kata,  baris dan citra, yang kekal dalam bahasa Melayu yang diwarisi dari Sulalatus Salatin. Kata dan frasa yang tepat serta dapat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat daripada bakatnya dan dijelmakan dalam adunan situasi yang memerlukan pemikiran yang tinggi bagi memahami makna yang ingin disampaikan termasuk makna luaran. Oleh itu, keindahan gaya bahasa personifikasi telah menyerlahkan identiti Sulalatus Salatin sebagai sebuah karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
     Dalam karya Sulalatus Salatin, terdapat banyak penggunaan gaya bahasa personifikasi bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Perkara-perkara ini telah menggunakan sifat yang ada pada manusia dan dikaitkan pada unsur-unsur alam seperti haiwan, pasir, angin, pokok dan lain-lain. Penggunaan unsur-unsur ini bagi menggambarkan keindahan makna sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh pembaca. Antara contoh-contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya ini adalah seperti berikut.

Sekira-kira empat keruh bumi jauhnya berjalan maka bertemulah dengan ra’yat Raja Syulan lalu berparang, tiada sangka bunyinya lagi, bunyi segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya dan segala yang memegang panah berpetikkan pana(h)nya dan segala (yang) memegang lembing bertikamkan lembingnya dan segala yang (memegang) tombak bertikamkan tombaknya, dan segala yang memegang pedang bertetakan pedangnya.
                                                                                               (Muhammad Haji Salleh, 1997: 13)







BIBLIOGRAFI.
A. Samad Ahmad (1986). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Wahab Ali (2002). Kritikan Estetik Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
D. Kathiresan (1998). Kajian Teks Sastera: Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Longman.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan  Pustaka.
Mana Sikana (2004). Sastera Melayu Klasik: Warisan Keemasan. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Rahman Shaari (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU


     
            Falsafah dan Idealime 
        Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan iaituphilo” yang bermaksudcintadan sophia” yang bermaksudkebijaksanaan. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagaicinta akan kebijaksanaan”. Kamus Dewan Edisi keempat mengatakan bahawa falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki. Idealisme pula 



Plato (427-347 SM)
Falsafah ialah pengetahuan tentang segala yang ada.
Aristotle (384 – 322 SM)
Falsafah ialah kegiatan menyelidiki sebab  dan asas segala benda.
Al- Kindi (800 – 870 SM)
Falsafah merupakan kegiatan manusia berkedudukan tertinggi yang mempunyai pengetahuan benar mengenai hakikat segala hal tentang manusia.
Al Farabi (827- 950 SM)
Falsafah merupakan ilmu pengetahuan yang bertujuan menyelidiki hakikat sebenar



Ibnu Sina ( 980-1037 M )
Falsafah ialah pandangan tentang sesuatu perkara secara mendalam dan mengetahui seluruhnya mengenai perkara tersebut sekadar tercapai oleh fikiran manusia.
Hashim Hj. Musa (1994)
Falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia.
Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan, dapatlah dirumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di alam semesta.

FALSAFAH ALAM

          Hubungkait antara manusia dan alam sekitarnya iaitubagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan alamDalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta.Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan  bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargaiMenurut agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai


ALAM SEKITAR SEBAGAI RUANG HIDUP DALAM SASTERA


     Manusia hidup di dalam ruang alam misalnya di tepi sungai, tepi pantai, tepi bukit dan sebagainyaMalah, laut dan sungai juga menjadi tempat mereka mencari rezekiHal ini menjelaskan orang-orang dahulu telah mempelajari sifat-sifat alam seperti kejadian pasang surut, tabiat haiwan dan sebagainyaManusia juga perlu memerhatikan alam mereka iaitu daripada sekecil-kecil flora dan fauna.


FALSAFAH ALAM DALAM BUSTAN AL-KATIBIN

       “Tiada pada langit itu kira-kira yang lapang daripada awan dan mega”
        “Kacang itu jika disayur dengan santan terlalu baik, istimewa pula dibubuh gara, maka iaitu bertambah- tambahlah baiknya”

      “Atau suara binatang seperti ‘berkiok’ kepada ayam dan ‘mengembek’ kepada kambing dan ‘menguak’ kepada kerbau, semuanya nama bagi suara belaka”

FALSAFAH ISLAM

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Falsafah ini menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.

Menurut Al-Farabi:


Falsafah itu ialah ilmu pengetahuan tentang alam yang wujud dan bertujuan untuk menyelidik hakikat yang sebenar.



Melayu dan Islam:Koreksi Budaya 
oleh Dr Siddiq Fadzil



Setelah diluncurkan pada 25 Jun 2012 di Hotel De Palma, Ampang, buku Melayu dan Islam: Martabat Umat dan Daulat Rakyat karya Dr Siddiq Fadzil terus diangkat dan “siap ditanggapi” oleh khalayak pembaca dan intelek. Dr Siddiq lahir di kalangan pemikir dan kelompok pembaharu di tanah air; dan merupakan aktivis dan pemimpin Islam yang besar yang menonjol dalam kegiatan intelek dan budaya yang luas. Beliau merupakan penggerak penting gerakan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan WADAH (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia) dan telah bergelut dalam perjuangan bangsa sejak empat dekad yang lampau. Buku yang dihasilkannya ini merakamkan intisari pemikirannya tentang sejarah, budaya, adat, pemikiran dan kerangka perjuangan masyarakat yang berkembang dalam sejarah dan kebudayaan Melayu di rantau ini. Ia menzahirkan harapan dan cita-cita perjuangan yang besar untuk menggembeling kekuatan umat dan membangunkan peradaban baru serta menyemarakan dan menyalakan obor pencerahan dan kebangkitan.

Menurutnya, karya ini tercipta dari usahanya menyunting dan menghimpunkan semula tulisan-tulisan dan rencana-rencananya “yang terbiar dan berserakan” yang telah dihasilkan sebelum ini. Ia merumus dan menggarap semula ide-de pokok dan fikrah dasar di dalamnya untuk dimuatkan dalam “kemasan sebuah buku”.

Karya ini mengungkapkan idealisme dan latar pemikiran penulis yang digerakkan oleh aspirasi dan cita-cita Islamiyah yang tulen untuk mempertahankan nilai ijtihad dan mengekalkan nafas haraki dan jama‘i dalam perjuangan bangsa. Dalam buku ini terungkap iltizam dan ruh perjuangan dan falsafah pemikirannya yang kental untuk mengangkat nilai budaya dan ketamadunan Melayu yang ideal dan dinamis.

Ia menzahirkan aspirasi pembaharuan yang diperjuangkannya selama ini untuk membentuk dan mengilhamkan pemikiran yang radikal dan revolusioner untuk menyelamatkan bangsa dari kesan rempuhan westernisasi dan serangan ideologi barat. Karya ini mencetuskan semangat perubahan dan nahdah yang mengesankan dalam usahanya untuk mengangkat warisan dan khazanah bangsa yang besar dan membentuk pandangan dunia dan kefahaman agama yang rasional dan kritis dalam masyarakat.

Ia mengungkapkan nilai-nilai pemikiran yang progresif yang memperlihatkan idealisme dan cita-cita perjuangan untuk membawa perubahan dan mengangkat tamadun bangsa. Perjuangannya digerakkan oleh aspirasi yang jelas untuk merubah dan mentransformasi pemikiran dan kehidupan umat, dan mencetuskan pandangan dan kefahaman dunia yang baru, yang terilham dari kekuatan tradisi akliah dan peradaban yang tercipta di rantau melayu yang telah menyemarak semangat kebangkitan dan mengangkat harakat bangsa dan pemikiran umat melayu. Ia mengungkapkan kekuatan falsafah, sejarah, dan warisan pemikiran Islam yang agung yang telah bertapak di dunia melayu dan mengilhamkan asas-asas pemikiran saintifik, dan rasional.

            Karya ini jelas mencabar kepincangan dan kebobrokan nilai yang mengikat dan membelenggu pemikiran bangsa. Ia menentang aliran konservatif dan kerangka pemikiran yang usang dan jumud yang menghalang perkembangan ide dan pemikiran. Ia menggariskan strategi perjuangan yang utuh bagi menangani masa depan umat melayu dan menampilkan cita-cita perjuangan yang progresif. Idea yang dikemukakan dalam karya ini diangkat dan digarap dari “liku-liku intellectual journey dan pengalaman kancah kehidupan penulisnya”, yang banyak digerakkan oleh pengaruh ABIM yang diterajuinya selaku Presiden dan sebagai penggeraknya yang penting. Ide ini memberikan lakaran penting tentang perjuangan bangsa dan menyingkap kesannya dalam merobah halatuju dan landasan perjuangan dan signifikasinya dalam mendaulat dan mengangkat martabat umat di rantau ini.

Ia memberi tekanan yang penting dan mendalam terhadap permasalahan dasar dalam kehidupan umat yang lesu dan menzahirkan upaya untuk menggilap ketangkasan dan ruh perjuangan dan meniupkan obor pembaharuan (tajdid) dan pembaikan (islah). Penulisan ini menggagaskan aspirasi kebangkitan yang berdaya dan menyemarakkan idealisme perjuangan dan ijtihad. Tema ini dibahaskan dengan tuntas dalam karya ini yang dirangkul dari falsafah dan tradisi keilmuan yang meluas di rantau ini.

Idea-idea fundamental yang dibahaskan dalam karya ini mengemukakan rencana untuk membentuk kekuatan bagi mengangkat martabat dan harakat bangsa. Ia melakarkan khittah perjuangan untuk memartabatkan kedudukan Islam dan Melayu dan menzahirkan pengaruh agama dalam kebudayaan Melayu dan peranannya dalam mengisi agenda bangsa.

            Karya ini tuntas mengetengahkan pengaruh Islam dalam sejarah bangsa, yang telah mencorakkan pemikiran dan kebudayaannya yang berlangsung selama beratus abad dan telah menjadi sebahagian dari budaya bangsa yang membentuk citra perjuangan dan memperkukuh jati dirinya. Ia merampungkan idealisme budaya yang segar yang diangkat dari pemikiran Melayu klasik dan membincangkan keunikan dan keagungan tamadun dan empayar Islam-Melayu yang terbina di zaman Melayu Melaka.

Fikrah penting yang dilakarkan dalam buku ini mengupas soal pantang larang berhubung dengan soal harga diri dan maruah, yang termaktub dalam kontrak sosial antara penguasa dan rakyat “bahawa jangan ia difadihatkan (diaibkan), dinista yang keji-keji” dan dijatuhkan kemuliaannya, kerana pantang anak Melayu maruahnya dicalarkan dan bangsanya dicabar. Bangsa yang besar dan berbudaya, seperti bangsa Melayu yang mempunyai sejarah yang besar, adalah “bangsa yang mulia dan bermartabat” yang cekal dan berani memprotes ketidakadilan dan mempunyai “semangat juang untuk berubah dan menebus maruah”. Nilai budayanya dicorakkan dengan akhlak Islam yang berakar dari sifat malu (al-haya’), malu melihat kemunduran, amalan korupsi dan rasuah, dan akhlak yang keji bermaharajalela dalam masyarakat.
Dengan lakaran idea dan keupayaan sastera yang memukau, buku Melayu dan Islam ini telah berhasil mengungkapkan pemikiran dan falsafah budaya yang jelas, dan mengemukakan idealisme pencerahan dan kebudayaan Islam yang mendalam, berangkat dari kerangka pemikiran yang dizahirkan dari karya-karya besar pemikir Islam seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang menyorot sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu dan sifat budayanya yang dinamis, Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah yang merangka teori politik dan tamadun bangsa dan falsafah peradabannya (‘umran), dan beberapa kupasan Malik bin Nabi, tentang azimmat al-fikr (kegawatan fikiran), syurut al-nahdah (prasyarat kebangkitan), dan dinamisme budaya dan gagasan pembaharuan.

Karya ini tuntas mendakap semangat perubahan yang dilatari oleh pesan-pesan dakwah dan fikrah pembaharuan yang “banyak mewarnai dan bahkan menyemangati pemikiran, gagasan dan wawasan yang tertuang dalam buku ini.” Ia lahir dari himpunan pengalamannya selama lebih empat dekad memimpin perjuangan dan menggagaskan kefahaman dakwah (fiqh al-da‘wah), siyasah (fiqh al-dawlah), fikih keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) dan fikih ramah lingkungan (fiqh al-bi’ah) dalam gerakan Islam, dan memperlihatkan kekuatannya sebagai karya besar yang mencantumkan nilai keagamaan dan faham kebudayaan yang ideal.

Buku ini berperanan dalam mengetengahkan idealisme perjuangan yang dinamis, dan menggilap semangat juang yang tulen di kalangan generasi muda, dan menciptakan jil khayra ummah, untuk meneruskan perjuangan dan membawa obor dan semangat perubahan berpangkalkan kepada fikrah “al-tahririyah dan al-taghririyyah” (pembebasan dan perobahan). Ia menzahirkan pesan-pesan al-Quran dan al-sunnah tentang pembaharuan, dan membangkitkan kesedaran ilmu yang diilhamkan dari pesan surah al-iqra’, yang telah mencetuskan revolusi keilmuan, pencerahan, makrifat dan tauhid. Yang ditekankan adalah pemerkasaan jiwa dan ketahanan rohaniah, dan penyuburan budaya ilmu, dan keberanian bersikap, dan kebobrokan budaya takut, yang jelas “bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang terpancar dari ajaran tauhid”.

Tulisannya mengilhamkan semangat juang, dan menanam keberanian mempertahankan kebenaran, seperti diungkapkan dalam pantun melayu: “Apa guna pergi ke bendang kalau tidak menanam padi, apa guna keris disandang kalau tidak berani mati” dan puisi yang dilakar oleh W.S. Rendra tentang Kesaksian Bapak Saija: “Hidup tanpa daya, sebab daya ditindih ketakutan, setiap hari seperti mati berulang kali. Setiap saat berharap menjadi semut agar bisa tidak kelihatan. Sekarang setelah mati baru aku menyedari bahawa ketakutanku membantu penindasan dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.”

Buku ini turut menzahirkan pengiktirafan terhadap karya-karya agung dalam sejarah bangsa, seperti Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang, Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dan sebagainya. Ia mengemukakan pemikiran budaya yang besar dan mencetuskan upaya penting untuk mengangkat martabat dan harakat umat dari dibelenggu dengan perangkap kejahilan, budaya fitnah dan ketakutan, dan menetapkan keberanian, kefahaman dan keyakinan agama yang tangguh.

Tulisan ini berusaha mengangkat persoalan bangsa dan menggarap idealisme perjuangan dengan nilai-nilai agama yang utuh, dan menghuraikan isu kemajmukan, sumbangan Islam dan masa depan perjuangan Melayu dengan hujah dan fikrah yang meyakinkan. Ia mengungkapkan dasar-dasar Islam yang universal dan membawa kesedaran dan keyakinan dalam menanggapi persoalan budaya yang merentasi batas ras dan agama, dengan bersandarkan semangat ukhuwwah, wataniyah dan insaniyah yang kuat.

            Ia melantarkan ide dan fikrah pembaharuan yang dilatari oleh roh dan idealisme yang dizahirkan dalam al-Qur’an dan al-sunnah yang mengangkat kemuliaan dan darjat manusia, dan berjuang menumpaskan tirani, menentang kebatilan, perkauman sempit dan faham rasis dan mencipta mekanisme untuk melantik pemimpin yang adil yang dapat melayani kehendak rakyat, yang “empowering (memperkasa) dan inspiring” (mengilhamkan) dan mempunyai stamina dan kesanggupan untuk menegakkan keadilan, mempertahan yang hak dan mengimarahkan syiar dan penghayatan Islam.

Buku ini tuntas mempelopori usaha pembudayaan bangsa dan pencerahan dengan bersandarkan konsep hurriyyah dan wasatiyyah, karamah insaniyyah dan maqasid syariah, yang telah memberikan kekuatan pada fikrah perbahasannya. Matlamatnya adalah untuk membina keseimbangan ilmu dan amal, kalbu dan jasmani, dunia dan ukhrawi, manusia dan alam dengan pesan yang strategis yang digarap dari ajaran dan tuntunan al-Qur’an yang menggariskan haluan perjuangan yang jelas untuk mengangkat nilai-nilai keagamaan yang inklusif seperti ukhuwwah dan ‘adalah berpangkal kepada cita-cita besar untuk merealisasikan hasrat membina kekuatan dan kedaulatan umat.

Ketinggian budaya dan peranan Islam dalam mencetus perubahan dan kebangkitan di  Nusantara terserlah dari kupasan Dr Siddiq Fadzil dalam karya ini yang mengetengahkan kerangka pemikiran yang tuntas dan menitipkan wacana pemikiran yang segar tentang maqasid syar‘iah, faham keadilan, keberanian menuntut perubahan dan pembebasan, dan ketinggian nilai Islam yang tercetus hasil ketangkasan dan kekuatan daya renungnya tentang gagasan dan aspirasi perubahan yang mengesankan.

Buku ini merupakan sumbangannya yang penting dalam menzahirkan aspirasi budaya dan gagasan pencerahan yang besar, yang terbina dari kesedaran agama dan keunggulan budaya pemikiran yang berlatarkan Islam dan merupakan faktor sejarah yang penting dalam perkembangan dakwah Islam di rumpun Melayu yang menzahirkan kemurnian dan keagungan sejarah bangsa Melayu yang fenomena.

       Karya ini telah mengangkat kefahaman baru tentang pemikiran budaya dan kekuatan tradisi akliah di rantau ini. Ia menzahirkan idealisme dan pemikiran Islam yang cukup bernilai untuk ditanggapi oleh bangsa Melayu bagi membangunkan akar budaya dan peradaban yang bermakna. Dengan telahannya yang meluas tentang Islam dan Melayu dan kekuatan tradisi dan warisan pemikiran Islam yang berkembang di Nusantara, karya ini telah memberikan sentuhannya yang hebat dan wajar dibincangkan dengan meluas



Rujukan

Sidiq Fadil (2012). Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.

Ahmad Nabil b. Amir
Post Doctoral Researcher, Department of Science, Kulliyyah of Engineering,
International Islamic University Malaysia (IIUM), P.O Box 10, 50728 Kuala Lumpur
Malaysia