Menurut
Alias (1998), retorik bermaksud kata-kata indah yang dilafazkan dalam ucapan,
pidato, ceramah atau dalam tulisan. Kata-kata indah di sini termasuklah di
dalamnya penggunaan kata atau gabungan
kata yang mempersonakan orang yang mendengar atau menyebabkan pendengar berasa
gembira. Menurut Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Idris (2010), pengertiaan
retorik Melayu setakat ini masih berkisar kepada bentuk-bentuk umum sastera
lisan mahupun prosa, seperti mantera, lipur lara, jampi serapah, makyong,
pantun dan sebagainya.
Gaya
bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran
mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat untuk
menimbulkan seni dalam dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung
akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya
sastera.
GAYA BAHASA
Gaya
bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’.Secara
umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan ragam. Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia,
gaya yang dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi
dan pelbagai lagi. Bahasa pula merupakan
satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan. Gaya bahasa pula membawa maksud cara atau ragam
sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan karangan. Hal ini demikian kerana, melalui penulisan,
pembaca tidak boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis
sesuatu perkara.
Penggunaan bahasa terlalu luas
terutamanya dalam bidang komunikasi.Komunikasi boleh berlaku dalam dua keadaan
iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.Komunikasi lisan merupakan
komunikasi yang berlaku secara terus dan disampaikan melalui perbualan,
manakala komunikasi bukan lisan boleh berlaku dalam penulisan.Gaya dalam komunikasi
bukan lisan ialah gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis. Setiap penulis memiliki gaya penulisan yang
berbeza walaupun perkara atau topik perbincangan yang ditulis adalah sama.
Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula
merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian dan mengandungi nilai estetik yang
merupakan nilai yang mampu membangkitkan perasaan serta mengharukan pembaca
sesebuah karya sastera. Selain itu, gaya
bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta merangsang
daya pemikiran pembaca. Penggunaan nilai
estetika dalam penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang
tersendiri. Sebenarnya, dalam
kesusasteraan terdapat banyak jenis gaya bahasa. Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran,
hiperbola dan peribahasa. Melalui karya
agung Hikayat Hang Tuah, didapati bahawa terdapat penggunaan keempat-empat gaya
bahasa ini.
Kiasan
Sebenarnya,
peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa
kiasan.Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan
bersopan.Ia terbentuk daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara
satu perkara dengan perkara yang lain. Bahasa
kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi.Buktinya, nenek
moyang kita telah mula menggunakan peribahasa, perumpamaan, pepatah malah
pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir golongan pemerintah
sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan pemerintahan tersebut.Penggunaan
kiasan ini menunjukkan adanya rasa hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya
perasaan hormat golongan rakyat jelata terhadap golongan pemerintah.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga
terdapat penggunaan unsur gaya bahasa berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa
kiasan dalam hikayat ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyindir, di
samping memberikan nasihat kepada individu yang disindir. Antara bahasa sindiran yang digunakan oleh
penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:
Ular cintamani yang
ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :
……..rupanya
dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik daripada
Hikayat Hang Tuah, halaman 43)
Berdasarkan
petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah menggunakan
bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas untuk
menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh Hang Tuah
di Pulau Biram Dewa.Seperti yang kita sedia tahu, pisang emas bersaiz dan
berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas yang diterangkan
sebagai emas yang sangat bermutu tinggi.Oleh hal yang demikian, didapati bahawa
penulis ingin menerangkan warna ular cintamani tersebut sangat bersinar seperti
emas yang bermutu tinggi.
Selain ayat di atas, dapat dikenal
pasti bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan ini pada halaman yang
lain. Selain daripada menggunakan bahasa
kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh digunakan untuk menggambarkan
sesuatu keadaan, benda, perkara atau seseorang.Berdasarkan ayat di bawa,
didapati bahawa penulis berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan
kecantikan fizikal seseorang wanita.Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di
bawah, iaitu:
Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,
…….
bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang,
berkilau-kilauan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah,
halaman 111)
Berdasarkan petikan di atas,
didapati bahawa penulis menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan
kecantikan Tun Teja. Bahasa kiasan yang
digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur
alam sekitar dengan rupa paras seseorang.
Didapati bahawa penulis menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja
adalah seperti bulan purnama empat belas hari bulan.Bulan purnama empat belas
hari bulan ialah bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat
cantik.Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga
seperti bulan yang gilang gemilang dan berkilau-kilauan. Perkataan gilang gemilang dan
berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan
berseri-seri.
Sindiran
Sindiran merupakan salah satu
bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan.Ia terdiri daripada tiga jenis
iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Bahasa sindiran ini merupakan bahasa yang
digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan.Selain
disebut sebagai sindiran halus, ia juga dinamakan sebagai ironi dan ia bukan
digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi ia juga bukan
bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain.
Dalam
karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa sindiran untuk
menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan masalah dalam
sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang Tauh dapat
dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara
manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa
Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang
Tuah, halaman 153)
Berdasarkan
petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang Tuah menunjukkan
keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada.Beliau menyatakan bahawa beliau
bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau mampu membunuh penghulu
bernama Majapahit.
Peribahasa
Peribahasa
merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran
yang telah disusun serta indah dan sedap didengar.Sebenarnya, peribahasa ini
telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi.Mereka mencipta peribahasa
berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara
yang berlaku di sekeliling mereka.Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan
salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat.
Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua
lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.
Dalam karya Hikayat Hang Tuah, penulis turut menggunakan peribahasa yang
jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa ini. Peribahasa yang digunakan adalah seperti di
bawah, iaitu:
Maka sahut Jebat, “Inilah
pekerjaan yang sempurna.Sepala-pala
jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai
Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang
Tuah, halaman 356)
Berdasarkan
petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa ‘sepala-pala
jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan.Peribahasa ini telah
jarang didengar masa ini.Maksud peribahasa yang digunakan di atas ialah jika
sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan.Perkara ini
membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan
menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga
akhirnya.Jelas dilihat peribahasa yang digunakan di atas bertujuan untuk
menyindir sikap Laksamana tersebut.
Peribahasa lain yang terdapat dalam
petikan di atas ialah ‘rosak bawang ditimpa jambaknya’. Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang
yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri. Berdasarkan situasi yang berlaku antara Jebat
dan Laksamana Hang Tuah dalam petikan di atas, Tuah menyatakan bahawa perbuatan
jahat yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sendiri, malah ia merupakan
satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana sikap atau perkara buruk yang
telah dilakukan oleh rakannya sendiri iaitu Jebat.
Rujukan
Abu
Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris (2010), Teori Balaghah Melayu. Kuala Lumpur : PUSTAKA WIDAD
Alias
Mohammad Yatim (1998), Mengenali Bahasa Melayu.
Kedah : Peercetakan Paavai.
No comments:
Post a Comment